Enam terbunuh termasuk pasangan suami isteri dan dua beranak, manakala enam lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan empat kenderaan iaitu bas ekspres, van, kereta Perodua Viva dan lori tujuh tan di Kilometer 35, Jalan Lahad Datu-Kunak, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.25 pagi itu, mangsa yang terbunuh ialah pemandu lori, Norawi Madu, 37; anak lelakinya, Mohamad Azrul, 14, dan pasangan suami isteri yang menaiki van iaitu Yong Pui San, 24, suaminya Chin Tet Leong, 30, serta penumpang van, Thien Yuk Lin, 51, serta Azlan Aziz, 17, yang menaiki Perodua Viva.
Semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan kepala Azlan terputus, manakala identiti enam lagi mangsa yang parah belum dikenal pasti.
Difahamkan Azlan, Norawi dan Mohamad Azrul dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Superintendan Bong Kuet Khiun ketika dihubungi berkata, kemalangan berlaku apabila van yang sedang dalam perjalanan dari sini ke Kunak, dipercayai cuba memotong kereta Perodua Viva.
“Sebaik melihat cubaan van itu memotong, sebuah bas ekspres dari arah bertentangan memberhentikan kenderaannya secara mengejut, menyebabkannya hilang kawalan dan melintang di tengah jalan, lalu dirempuh van dan Perodua Viva itu sebelum ketiga-tiga kenderaan itu tergelincir ke dalam gaung.
“Kemalangan itu juga menyebabkan sebuah lori yang berada di belakang kereta Perodua Viva dan van itu turut terbabas ke dalam gaung sama, dipercayai akibat hilang kawalan ketika cuba mengelak daripada pelanggaran berkenaan,” katanya.
Semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat, manakala enam yang parah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.
Comments
Post a Comment