Seramai 300 penduduk tinggal sehelai sepinggang apabila 50 buah rumah setinggan di Blok 6, Kampung Titingan, dekat sini, musnah dalam kebakaran hari ini. Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, siasatan mengenai punca dan anggaran kerugian masih dijalankan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Katanya, dua jentera Bomba dan tiga kereta bantuan dengan 20 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.33 pagi dan berjaya mengawal kebakaran sejam selepas itu. "Anggota Bomba terpaksa berhadapan dengan masalah angin kuat kerana tempat itu berdekatan laut," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Ismail Mayakob yang melawat lokasi kejadian, berkata pihaknya akan menyediakan tempat pemindahan sementara untuk mangsa kebakaran itu di Balai Raya Kampung Titingan. - BERNAMA
Harian Tawau memaparkan berita tempatan di daerah Tawau