TAWAU: Akibat dipengaruhi dadah, seorang lelaki tergamak menikam leher dan menetak kepala ayah kandungnya setelah berlaku perselisihan faham di antara mereka pada awal pagi Khamis. Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, suspek berusia 27 tahun itu menikam leher mangsa berusia 56 tahun menggunakan pisau di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Titingan. Dia kemudian menetak kepala mangsa menggunakan parang hingga menyebabkan kecederaan serius. Mangsa maut di lokasi kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat. Suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ) manakala kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tawau: Suspek yang memukul pelajar tingkatan empat sebelum mangsa ditemui meninggal dunia pagi semalam, direman bermula hari ini. Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, lelaki berusia 18 tahun itu direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. “Suspek direman hingga 1 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, hari ini. Dalam kejadian 6 petang Ahad lalu, mangsa, Mohd Ayieruchizamsyah Lambang, 16, dipukul suspek menggunakan kayu ketika berjumpa adik perempuan suspek di kawasan padang Taman Gembira berhampiran Kampung Sentosa, di sini. Mangsa ditemui meninggal dunia 7.30 pagi semalam oleh ibunya di bilik di rumah mereka di Kampung Pisang, di sini. -Hmetro